Friday 27 May 2016

Azmi Shahrin sedekah kemahiran bercakap

Bersedekah, membantu orang yang memerlukan bukan dengan wang semata-mata. Terlalu banyak perkara yang boleh kita hulurkan walaupun kita bukan orang kaya. Kita boleh sedekah tenaga dan ilmu.
Sedekah sering dikaitkan dengan material saja. ‘Saya orang susah, bagaimana nak sedekah. Untuk diri sendiri pun tak cukup makan’. Ada yang sering mengungkapkan kata-kata begitu. Sekiranya begitulah anggapan mengenai sedekah, orang susah langsung tidak berkesempatan bersedekah sehinggalah mereka senang atau kaya. Bagaimana sekiranya mereka susah selama-lamanya?
Selalu juga kita berasakan sekiranya memberi wang, wang itu akan habis tetapi sekiranya ilmu yang diberi, ia akan digunakan dengan pelbagai cara selagi hayat dikandung badan.
Azmi Shahrin
Azmi Shahrin sedang melatih peserta KUIM

Justeru, 32 pelajar dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) sangat bertuah kerana syarikat Triple A Training dari Kuala Lumpur datang memberi mereka ilmu supaya dapat digunakan dalam waktu pembelajaran mahupun setelah berkerjaya kelak. Ilmu yang diberi itu ialah teknik pengucapan awam.
Kita sangat menyedari kelemahan dan kekurangan ramai antara kita yang seringkali tidak boleh bercakap apabila mereka perlu melakukannya di khalayak ramai, walaupun bercakap dalam bahasa kebangsaan sendiri!
“Saya mahu wakafkan ilmu ini kepada anda semua, dan semoga ia berguna dalam kehidupan masa depan nanti,” kata Azmi Shahrin yang melatih lebih 11,000 peserta dari sektor kerajaan mahupun korporat bagi membina kemahiran pengucapan awam. Azmi ialah jurulatih utama di Triple A Training.
Seramai 32 pelajar yang terpilih ini juga istimewa kerana mereka adalah pelajar daripada keluarga susah yang mendapat bantuan makanan daripada kumpulan komuniti amal Superfrends. Memberi kepada mereka yang memerlukan memang sangat besar nilainya pada yang menerima.
Berumur antara 19 hingga 22 tahun, pelajar ini daripada pelbagai fakulti antaranya pengajian tahfiz, akaun, kaunseling dan syariah. Mereka juga datang dari seluruh Malaysia. Turut serta ialah sembilan sukarelawan Superfrends yang terpilih.
Kemahiran bercakap untuk kerjaya
Kata Azmi, kemahiran pengucapan awam, petah dan pandai menyampaikan kata-kata mampu melonjakkan kerjaya seseorang seterusnya mampu membuatnya mendapat imbuhan yang tinggi.
“Mengapa ramai yang takut apabila disuruh bercakap di khalayak ramai? Permasalahan yang biasa kita dengar ialah gementar, malu, tiada idea, gugup, takut, tiada keyakinan diri, tidak bersedia, rasa tidak sempurna dan banyak lagi permasalahan lain,” katanya.
Azmi menambah, setelah mengetahui masalah yang ada pada diri, langkah yang harus dilakukan ialah mengatasinya. Kenal pasti kelemahan diri. Mengapa kurang keyakinan diri? Atasinya setelah mengetahui punca.
“Atasilah rasa takut dan malu itu. Jangan takut atau malu sekiranya melakukan kesilapan. Risau silap dan dikata bodoh? Anda kononnya mengambil langkah selamat iaitu dengan diam. Ia tidak akan menyelesaikan masalah.
“Apa yang biasa dilakukan oleh mereka yang tahu kekurangan diri? Mereka melarikan diri daripada berhadapan dengan masalah itu. Itu bukan cara yang betul. Sekiranya tahu diri takut, gugup dan gementar justeru, cara mengatasinya ialah terus melakukannya, jangan lari dan menyorok sebaliknya cari pengalaman sebanyak mungkin,” katanya.
Azmi memberi contoh apabila sesuatu itu kita lakukan berkali-kali ia akan menjadi biasa dan kita tidak akan takut lagi.
“Saya ambil contoh sekiranya pertama kali kita dibawa belajar berenang sedangkan kita tak pandai berenang. Tentulah pertama kali itu kita akan rasa takut dan gementar. Kemudian pada kali kedua, kita dah semakin mahir dan berani. Ketiga, kita sudah lebih yakin. Dan seterusnya, kita tak akan rasa takut lagi.,” katanya.
Kepada peserta hari itu, Azmi menyeru supaya sentiasa mencari peluang dan merebut peluang demi menambah pengalaman. Jangan amalkan sikap ‘biar orang lain yang buat’ sebaliknya kita yang tawarkan diri untuk membuatnya.
“Kita selalu lihat, orang yang berani, berani tawarkan diri, berani bercakap juga berani ke hadapan, akan lebih mudah mendapat kenaikan pangkat dan meningkat kerjayanya. Naik pangkat bermakna gaji juga naik. Orang yang pandai bercakap akan sentiasa mendapat peluang. Peluang akan mencari kita kerana ramai yang tidak mahu bercakap,” katanya.
Azmi memberi penekanan di dalam kursus yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu, peserta harus membina keyakinan diri dan sentiasa berlatih mencari pengalaman.
Peserta diajar teknik dan petua berucap antaranya cara gerakan tangan ketika bercakap, cara berdiri, lontaran suara dan arah pandangan kepada hadirin ketika bercakap.
Sekiranya pada awal kursus, semua peserta kelihatan tidak yakin, takut, malu-malu dan tampak janggal namun di penghujung kursus, setelah mendapat tunjuk ajar Azmi, masing-masing mula menampakkan taring dan keberanian yang selama ini tersembunyi. Ini petanda, mereka semua sebenarnya mempunyai bakat untuk bercakap. Yang perlu dilakukan ialah menggilapnya saja.
Pelajar KUIM dan sukarelawan Superfrends yang menerima manfaat ini sangat berterima kasih kepada Azmi dan kumpulannya yang sudi berkongsi ilmu, pengalaman dan pengajaran pengucapan awam yang sangat berguna. Ia akan kekal di hati dan semoga dapat dimanfaatkan ke jalan kebaikan.
Artikel ini disiarkan Harian Metro pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:01 AM


http://www.hmetro.com.my/node/136503#


Training Conducted by Azmi Shahrin HRDF PSMB Training Provider - www.tripleAtraining.com Business Presentation Skills Training in KL Malaysia - www.businesspresentationskills.com.my Kursus Pengucapan Awam - www.pengucapanawam.com.my Kursus Pengucapan Awam Untuk Sekolah - www.kursuspengucapanawam.com

No comments:

Post a Comment