Friday, 27 May 2016

Azmi Shahrin menyeru orang muda supaya binalah keyakinan

Oleh Kusyi Hirdan 

am@wanita.com.my


Tidak berani bercakap? Reda terbelakang?
Sejak sekian lama kita sering mengakui betapa ramai antara kita terutama bangsa Melayu begitu lemah dalam bidang komunikasi terutama di hadapan khalayak. Takut bercakap. Takut menyuarakan pendapat. Takut ke hadapan. Takut bertanya. Semuanya takut walaupun terhadap perkara yang mudah dan santai.
Kegagalan bercakap sangat sinonim dengan kelemahan Melayu dalam kerjaya. Yang pandai bercakap akan ke hadapan, yang diam, tidak ke mana-mana.
Azmi Shahrin
Azmi Shahrin - Jurulatih Pengucapan Awam Terkenal

Ia sering kali dikaitkan dengan kelemahan mengusai bahasa Inggeris. Terlalu takut apabila sesuatu itu membuatkan mereka perlu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Mengapakah begitu?
Sebenarnya, sepanjang pengalaman penulis sebagai wartawan, penulis sering melihat ia bukan hanya membabitkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi juga keberanian bercakap itu sendiri.
Sekiranya bercakap pun tidak berani walaupun dalam bahasa ibunda, apatah lagi dalam bahasa lain!
Benarkah bahasa Inggeris begitu penting? Apakah kita dipandang rendah hanya kerana tidak pandai berbahasa Inggeris?
Menurut Azmi Shahrin Abdul Rahim, jurulatih pengucapan awam yang berpengalaman melatih kira-kira 11,000 peserta kursus daripada sektor kerajaan dan swasta, memanglah kemahiran boleh menguasai bahasa Inggeris suatu bonus, tetapi sering berlaku, bercakap dalam bahasa Melayu pun ramai yang gagal!
“Saya pernah ditugaskan melatih pelajar terbaik di sebuah universiti tersohor negara. Mereka handal belaka dan tinggi kelulusannya, tetapi apabila disuruh bercakap, mereka kandas. Handal di bidang pelajaran, tetapi gagal dan tidak berani bercakap,” katanya.
Dapat menguasai apa saja bahasa pun memberi kelebihan kepada kita. Bukan hanya bahasa Inggeris sebaliknya sekiranya kita boleh berbahasa Arab, Mandarin, Tamil atau bahasa lain, ia sangat memberi kelebihan.
“Tidak dinafikan, bangsa Melayu agak sukar bercakap terutama yang memerlukan mereka berbuat demikian seperti di bidang kerjaya. Kita buat semua kerja, sediakan slaid, buat kajian dan pelbagai perkara lagi. Untuk bercakap dengan orang lain, adakalanya kita takut, tak berani dan tak yakin bercakap di hadapan orang walaupun mereka rakan sekerja kita sendiri,” katanya.
Bagi Azmi, hakikat ini ada kena mengena dengan cara didikan sejak kecil dan juga pendekatan dalam budaya yang tidak membenarkan kita ‘bercakap’. Sering kali ibu bapa mengajar anak mereka supaya menerima saja dan jangan banyak bertanya. Banyak bertanya dikatakan tidak sopan dan ini membuatkan anak bangsa kita semakin hilang keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai.
Ketakutan seterusnya bukan kerana tiada keyakinan, tetapi rasa takut yang melanda.
“Kebanyakan kita takut bercakap kerana beberapa perkara misalnya takut tersalah cakap, takut orang mengata kita bercakap sesuatu yang bodoh dan risau ditertawakan. Hendak bertanya pun begitu juga. ‘Eh, nanti kalau aku bertanya, orang kata aku tanya soalan bodoh pula!’ Jadi, teruslah kita menjadi orang yang tidak berani menyuarakan pendapat, memberi cadangan dan bertanya. Kita risau apa yang orang kata,” katanya.
Pesan Azmi, kelemahan itu perlu diatasi dengan berusaha berubah sekiranya kita mahu meningkatkan diri dalam kerjaya. Untuk lebih memantapkan diri, bagi yang sedar kekurangan yang ada, perlulah berusaha menghadirkan diri dalam kursus berkaitan supaya mendapat cara yang betul dan bimbingan daripada mereka yang berkelayakan.
“Sudah tiba masanya kita jangan mendidik anak dengan tidak membenarkan mereka bercakap dan bertanya. Biar mereka bercakap dan bertanya. Kalau kita tak ada jawapannya hari itu, beritahu kepada anak kita, esok, kita akan carikan jawapan untuk pertanyaannya. Jangan sekat kreativiti anak dengan menyekat mereka bercakap,” katanya.
Sekiranya mempunyai ilmu dan kemahiran di bidang yang ada kaitan dengan anda, kenapa hendak takut bercakap?
“Jangan takut dan risau apa yang kita cakap itu dikata bodoh oleh orang lain kerana sesiapa pun berhak menyuarakan pendapatnya. Pemimpin kita pun ada bercakap perkara yang tak logik dan dikutuk seluruh dunia, tetapi mereka tetap menjadi pemimpin dan orang yang berjaya. Dan mereka terus bercakap, menyampaikan pendapat,” katanya.
Menurut Azmi, kekurangan kepandaian tidak pandai bercakap membuatkan ramai yang gagal menyerlah di bidang kerjaya, ketinggalan serta kekal di takuk lama.
“Mesti pernah dengar, orang yang dinaikkan pangkat, dinaikkan gaji atau di beri tanggungjawab memimpin ialah orang yang pandai bercakap. ‘Dia tu pandai bercakap saja, kerja bukannya tahu!’ Biasa kita dengar begitu. Namun, mereka inilah yang berjaya, mendapat kedudukan tinggi dan bergaji besar. Kita? Kita sekadar reda dengan apa yang ada,” katanya.
Menurutnya, orang yang pandai bercakap atau berani bercakap akan diberi tanggungjawab sebagai pemimpin kerana itulah kriteria yang dicari. Mereka boleh memimpin dan seterusnya menjadi ketua.
“Ada suatu kategori ini, cukup rajin bekerja, cemerlang bekerja dan handal di bidangnya, tetapi tidak menyerlah dan kewujudannya tidak dirasai. Kadang-kadang, majikan pun tak kenal dia siapa kerana tak nampak dia pun. Yang terserlah ialah jenis yang pandai menyerlahkan diri. Pandai bercakap, dalam mesyuarat beri pendapat, tunjukkan keyakinan diri dan sebagainya.
Apabila si pandai bercakap ini dinaikkan pangkat, rakan sekerja akan bergosip mengenai orang sebegini, ‘cakap saja pandai, senanglah naik pangkat’. Tanpa mereka sedari, orang sebegitulah yang kemudian menjadi pemimpin dan berjaya,” katanya.
Dalam syarikat atau organisasi, perkataan yang sangat ditakuti ialah ‘kaki bodek’. Semua orang takut sekiranya dilabel sebagai kaki bodek.
‘Setiap pagi, saya buka pintu bilik bos kerana saya menghormati dia sebagai bos. Saya pula pembantunya. Mungkin kerana ia tidak pernah dibuat oleh pembantu yang sebelum ini, saya digelar kaki bodek oleh kawan yang lain,’ kata seorang pekerja yang sedih kerana niat baiknya menjadi kutukan rakan sepejabat. Dia rasa tertekan dan emosinya terganggu.
“Begitulah dari dulu sampai sekarang. Orang buat baik, menghormati ketua, kita kata dia kaki bodek. Ingatlah, kerana sikap itulah dia wajar mendapat pengiktirafan dalam kerjaya. Dia bukan saja boleh bekerja dengan baik, dia juga menghormati ketuanya. Anda? Apabila orang lain buat baik anda cap sebagai kaki bodek,” katanya.
Berani bercakap, bina keyakinan diri dan jangan fikirkan apa yang orang lain kata sekiranya kita yakin mempunyai ilmu di bidang kerjaya kita. Kita mesti ada keberanian bercakap untuk meningkatkan diri dalam kerjaya.
Azmi juga bercita-cita menjadikan kemahiran pengucapan awam, kemahiran komunikasi yang berkesan satu kenyataan kepada semua rakyat Malaysia. Dia menegaskan tidak terlambat untuk sesiapa juga pun mengubah diri untuk memahirkan diri bercakap di khalayak terutama di bidang kerjaya.
Artikel ini disiarkan Harian Metro pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:03 AM


http://www.hmetro.com.my/node/102939#foto


Training Conducted by Azmi Shahrin HRDF PSMB Training Provider - www.tripleAtraining.com Business Presentation Skills Training in KL Malaysia - www.businesspresentationskills.com.my Kursus Pengucapan Awam - www.pengucapanawam.com.my Kursus Pengucapan Awam Untuk Sekolah - www.kursuspengucapanawam.com

No comments:

Post a Comment